BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

SMKSULTANAHBAHIYAH

SMKSULTANAHBAHIYAH

Monday, 26 September 2011

Remaja Merempit Bukan Salah Ibu Bapa


Tatkala orang lain lena dibuai mimpi, terdapat sekumpulan remaja sedang seronok menunggang motosikal sambil menunjukkan aksi yang berbahaya.
Setiap malam, orang ramai pasti gerun mendengar deruman motosikal golongan ini yang sanggup menggadaikan nyawa sendiri dan membahayakan orang lain.
Apa sebenarnya yang ingin ditunjukkan oleh remaja ini yang tidak gerun menunjukkan aksi ngeri menunggang motosikal?
Atau mereka ini ingin mendapatkan kepuasan diri seiring dengan naluri remaja mereka yang sedang memberontak.
Bukan sahaja golongan lelaki, remaja wanita kini mula melibatkan gejala ini.
Wanitalah yang menjadi bunga penyeri di heningan malam dan lelaki akan menjadi kumbang mereka.
Beginilah kisah kehidupan Mat Rempit dan Minah Rempit yang tidak pernah menghiraukan tanggapan masyarakat terhadap mereka dan yang paling penting mereka puas dengan apa yang dilakukan.
Ikuti kupasan wartawan, ROSMAH DAIN, NOOR FAZRINA NOOR KAMAL dan RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH mengenai gejala ini yang entah bila akan sampai ke penghujung.
JAM telah menunjukkan tepat pukul 12.00 tengah malam. Menurut perkiraan saya, hasil dari maklumat yang diterima dari geng remaja bermotosikal di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam di Ipoh, mereka sepatutnya sudah mula berlegar-legar di kawasan ini pada waktu-waktu begini.
Namun suasana di Taman Rekreasi Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak, tetap sunyi, gelap dan lengang. Tiba-tiba bunyi ekzos motosikal disertai dengan suluhan lampunya memecahkan keheningan pada malam itu. Saya bersama dua orang rakan yang sudi meneman untuk tugasan mencabar ini terus keluar dari kereta mencari arah datangnya motosikal itu. Sayangnya hampa!
Rupa-rupanya bunyi itu bukan datangnya dari motosikal Mat Rempit yang kami cari tetapi seorang pak haji yang baru balik dari masjid. Dalam kecewa saya dan teman-teman tersenyum sendiri.
Setelah berbincang, kami menukar haluan ke lokasi seterusnya yang juga dikenali sebagai pusat perhimpunan mat rempit di satu kawasan dekat Jelapang.
Ternyata keputusan yang dibuat mendatangkan hasil. Dari jauh sudah kedengaran deruman enjin motosikal yang kuat dan menyakitkan telinga. Kelihatan beberapa mat rempit sedang melakukan aksi-aksi berani mati. Ada juga yang sedang menguji kelajuan motosikal masing-masing yang mereka namakan sebagai sprint test.
Saya mendekati salah seorang mat rempit yang duduk berehat setelah penat beraksi. Melihat saya mendekatinya dia agak gelisah. Mulanya dia enggan memberi kerjasama. Saya menggunakan psikologi memujuk dan memperkenalkan diri.
Saya katakan juga niat saya ikhlas untuk menghayati jiwa mat rempit dan punca kenapa mereka jadi begini.
Lama dia memerhati wajah saya, setelah agak yakin, akhirnya dia mengalah setelah saya berjanji akan merahsiakan identinya. Lega hati saya!
Shahriman Zulkifli (bukan nama sebenar), baru mencecah usia 21 tahun. Pelajar kolej yang juga bekerja sebagai mekanik separuh masa di sebuah bengkel motor di Ipoh, Perak ini adalah anak kedua daripada enam adik beradik. Orangnya bertubuh kurus tinggi dan berwajah manis.
Melihat kepada motosikalnya, agak sukar untuk kita ketahui apakah jenisnya kerana ia sudah diubahsuai hampir keseluruhannya.
Menurut rakan yang menemani saya yang turut berkemahiran dalam enjin motosikal, enjin Yamaha 125Z berkuasa kuda 125 cc milik Shahriman telah ditingkatkan keupayaannya sehingga boleh mencecah 180 kilometer sejam. Terkejut juga saya tapi itulah kelebihan motosikal mat rempit.
Menurut Shahriman, kelajuan dan keberanian merupakan istilah sebenar seorang mat rempit. Sesiapa yang memiliki motosikal paling laju dan paling berani menunjukkan aksi-aksi maut akan dijulang sebagai juara dan ia akan ditentukan pada satu malam khas yang mereka namakan sebagai ‘Malam Juara-Juara’ yang mana ia akan dihadiri oleh kesemua kumpulan-kumpulan mat rempit dari seluruh daerah.
Semasa ditanya tentang aktiviti kumpulannya, Shahriman pada mulanya nampak tidak selesa. Namun saya layan dia bercakap sehingga akhirnya menjurus ke arah soalan yang ingin saya kemukakan tanpa disedarinya.
Menurut Shahriman, aktiviti-aktiviti malam mereka terutama pada malam minggu ialah berlumba motosikal. Ia bukan sekadar perlumbaan suka-suka sahaja kerana ia melibatkan pertaruhan wang dan maruah kumpulan mereka.
Sedang sesi temu bual itu sedang rancak saya terpandang seorang gadis bertubuh montok menuju ke arah kami.
Nampaknya seperti belasan tahun dan berpakaian seksi, wajahnya pula disolek persis artis popular. Dia nampak ragu dengan kehadiran kami.
Setelah diperkenalkan oleh Shahriman, itulah Rozana Kassim (bukan nama sebenar), 18, salah seorang minah rempit atau istilah lamanya bohsia yang akan menemani mat-mat rempit pada malam tersebut.
Setelah berbual seketika, Rozana menjauhkan diri dari kami sementara saya meneruskan perbualan dengan Shahriman.
‘’Kebiasaannya kami akan berlumba mengikut kumpulan. Jika ada kumpulan yang ingin membuka game, kami akan menyahutnya,’’ ujarnya lagi.
Menurut Shahriman lagi, mereka juga akan mempertaruhkan wang taruhan setinggi lima ribu ringgit serta seorang perempuan dan wang itu akan diagih-agihkan sesama mereka.
‘’Jika kami menang, kami akan memilih sendiri perempuan dari kalangan awek-awek mereka dan malam itu kami akan ‘kendurikannya’ bersama-sama,’’ jelas Shahriman lagi.
Untuk mengatasi ketakutan dalam perlumbaan, mereka akan mengambil pil ekstasi atau menghisap ganja sebelum berlumba. Ini akan membuatkan mereka bertambah berani dan tegar untuk merempuh apa sahaja yang merentangi mereka.
‘’Bagi yang menang, wang dan perempuan akan menjadi habuan mereka dan bagi yang kalah, bukan sahaja wang lesap, malah bagi keadaan tertentu contohnya dendam, motosikal mereka juga akan dibakar. Itulah adat perlumbaan kami,” terang Shahriman lagi.
Setelah berlumba, mereka akan menghabiskan wang yang mereka menangi di disko-disko atau kelab-kelab malam. Sebelum menuju ke situ, mereka bersama-sama ahli kumpulan mereka akan meronda satu Bandaraya Ipoh sambil melakukan aksi-aksi maut mereka di jalan raya.
‘’Kalau ada polis lagi best. Kami suka main kejar-kejar dengan mereka terutama polis yang menunggang kuda putih (motor berkuasa besar peronda polis),’’ jelas Shahriman dengan nada bangga.
Setelah pintu disko mula ditutup barulah mereka berangkat pulang ke rumah sewa salah seorang dari Mat Rempit. Di situ mereka akan menggauli perempuan yang dimenangi secara bergilir-gilir. Mat Rempit yang telah memenangi perlumbaan tersebut akan ‘merasmikan’ perempuan tersebut diikuti dengan yang lain-lain. Sambil menunggu giliran mereka di luar akan menghisap ganja beramai-ramai dan ada juga yang meminum minuman keras.
‘’Tiada istilah awek tetap bagi Mat Rempit, boleh dikatakan kami bertukar-tukar pasangan mengikut keadaan,’’ katanya lagi.
Melihat telatahnya yang begitu bangga dengan aktiviti-aktiviti yang dilakukannya, saya mula menanyakan satu soalan maut iaitu kenapa dia boleh terlibat dengan kegiatan Mat Rempit ini, adakah keluarga merupakan punca kegiatan Mat Rempit ini seperti yang sering digembar-gemburkan oleh media massa. Shahriman yang sedari tadi angkuh dan bangga bercerita tiba-tiba tersipu-sipu dan agak tidak keruan.
‘’Keluarga saya langsung tiada kena-mengena dalam hal ini. Kalau di rumah saya bukan macam ni. Sembahyang pun tak tinggal dan saya tak pernah melawan cakap mak dan ayah saya. Mereka telah menjalankan tanggungjawab mereka dan saya sendiri yang telah memilih jalan ini,’’ ujarnya dengan nada perlahan.
Menurut Shahriman lagi, dia mula terjebak dalam kegiatan Mat Rempit setelah tamat persekolahan. Semasa menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia, dia bekerja di sebuah bengkel motor dan dari situlah dia mula berjinak-jinak dengan aktiviti Mat Rempit. Bermula dengan hanya bergaul dan melepak bersama-sama mereka sehinggalah dia pun turut serta berlumba dan melakukan aktiviti-aktiviti yang negatif.
‘’Saya pun tak pasti sampai bila nak teruskan aktiviti ini, sebab ia macam dah sebati dengan diri saya, namun saya yakin satu hari nanti saya akan berhenti dari kegiatan ini dan meneruskan cita-cita demi keluarga,’’ tambahnya lagi dengan nada sayu sambil matanya redup merenung jauh memikirkan nasibnya yang mendatang.
Di sini saya tidak berniat untuk mencari dan mencungkil apakah kesalahan-kesalahan mat rempit ini. Tetapi cuma ingin membongkar apa sebenarnya punca mereka berbuat demikian serta alternatif yang mungkin dapat digunakan untuk membendung gejala ini. Ternyata perbualan dengan Mat rempit ini memberi dimensi baru kepada kami mengenai punca mereka terjerumus di dalam kancah negatif ini. Hanya kerana mereka tersilap percaturan pada awalan hidup mereka menyebabkan mereka terus hanyut dibuai keseronokan yang hanya bersifat sementara. Kita seharusnya lebih peka dengan apa sebenarnya dilema mereka dan percanggahan harus dilakukan sebelum ia bertukar menjadi barah dan sukar untuk diubati sampai bila-bila.
WAZI Abdul Hami, bekas pelumba motosikal profesional mengejak mat dan minah rempit menyertai Persatuan Penunggang Motosikal Profesional (ProRider) untuk menjalani latihan sekiranya mereka ingin berubah.
Menurut Wazi persatuan ini dtubuhkan untuk membantu golongan ini dan juga belia yang berminat memahirkan diri dalam bidang ini secara profesional.
“Kepada mat rempit di luar sana, kawal emosi dan ingatlah berlumba motosikal di jalan raya merupakan perkara yang tidak berfaedah. Oleh itu jika ingin berlumba biarlah mengikut cara yang dibenarkan,’’ kata Wazi.
Menurut Wazi, mereka ini darah muda, sukar untuk mengawal naluri remaja mereka. Sebelum menjadi pelumba motosikal, Wazi sendiri pernah terlibat dengan gejala rempit ini.
“Bagi saya, seseorang pelumba motosikal dikenali sebagai mat rempit apabila dia mula menunjukkan aksi berbahaya di jalan raya.
“Sebagai remaja yang ingin menunjukkan kepuasan, menunggang dengan cara itu adalah normal. Saya juga macam itu. ’Masa itu saya tidak terfikir lagi apa yang terbaik untuk diri sendiri. ’Tetapi sampai satu tahap, kita sedar gejala mat rempit ini sebenarnya membahayakan orang awam kerana melanggar undang-undang jalan raya dan akhirnya saya berazam menjadi pelumba profesional melalui saluran yang betul,’’ katanya.
Tambah Wazi, golongan mat rempit ini memerlukan penunjuk arah supaya mereka tidak tersasar jauh.
“Mat rempit ini menjadi ganas kerana mereka tidak mempunyai tempat melepaskan geram seperti satu litar yang luas dan sesuai untuk mereka menunggang dan menunjukkan aksi tanpa menganggu orang lain.’Apa yang diusahakan oleh Kementerian Belia dan Sukan melalui Sukan Malam adalah sesuatu yang positif untuk mat rempit,’’ ujarnya.
Golongan ini kata Wazi hanya hendak berseronok dan jika ada yang melakukan gejala tidak sihat seperti menyerang polis, meragut dan sebagainya, jumlahnya hanya segelintir dan sedikit.
Ditanya tentang pengalamannya mendekati minah rempit, Wazi memberitahu, golongan remaja wanita yang terlibat dengan gejala ini juga ingin dikenali dan glamor seperti mat rempit Mereka menumpang glamor mat rempit.
Tambah Wazi, persatuan ProRiderr bersedia memberi latihan kepada golongan mat dan juga minah rempit yang ingin berubah.
“Sekiranya kita ingin memiliki rasa dihormati, kita juga perlu menghormati hak orang lain. ’Apabila kita mengganggu ketenteraman dan keselamatan orang lain dengan merempit, sebenarnya kita tidak menghormati mereka. Kepada mat rempit di luar sana, kawal emosi dan ingatlah berlumba motosikal di jalan raya merupakan perkara yang tidak berfaedah.’’


ThankYou