Pusat Sumber Sekolah (PSS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Indrapura yang menjadi penanda aras kecemerlangan PSS di Negeri Pahang kini menjadi pusat rujukan bagi sekolah-sekolah menengah di negeri itu untuk mewujudkan PSS yang berjaya.
Baru-baru ini SMK Inderapura menerima tetamu daripada 34 pelajar dan 6 guru SMK Seri Semantan, Mentakab yang mengadakan lawatan sambil belajar untuk melihat dari dekat bagaimana sekolah tersebut berjaya menguruskan PSS dengan baik.
Penyelaras PSS SMK Seri Semantan, Normazura Abd Majid yang mengetuai rombongan tersebut memberitahu, lawatan ke PSS SMK Inderapura adalah untuk memberikan pendedahan kepada pelajar sekolah itu agar lebih cemerlang dan kreatif menguruskan PSS.
Katanya, pendedahan tersebut dapat memberikan motivasi dan memahami peranan mereka untuk melaksanakan PSS yang mampu menarik minat pelajar sebagai sumber rujukan.
``Melalui lawatan ini pihak sekolah berharap dapat membuahkan hasil kepada para pelajar berkenaan supaya mempunyai idea dan kreativiti untuk meningkatkan kualiti PSS sebagai pusat pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
``Selain itu lawatan sambil belajar ini dapat menerapkan nilai-nilai cinta akan persekitaran sekolah, ceria dan bermaklumat,'' kata Normazura kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, lawatan selama empat jam itu memberi peluang kepada pelajar SMK Seri Semantan untuk melihat dan memerhatikan perbezaan dan kelebihan yang terdapat di PSS SMK Indrapura.
Tambahnya, berdasarkan hasil lawatan itu, beberapa perkara dapat dirumuskan, antaranya ialah PSS SMK Indrapura telah diuruskan dan dimanipulasikan dengan baik dan cekap bagi kegunaan pelajar sekolah berkenaan.
``Setiap sudut dan ruang yang ada digunakan tanpa membazir dengan terdapatnya bilik tayangan, bilik kerja dan juga dilengkapi dengan bilik `Red Spot'.
``Menerusi program Nilam pelajar sekolah berkenaan diperuntukkan masa selama sejam untuk membaca buku cerita di dataran sekolah bagi melengkapkan buku Nilam mereka,'' kata Normazura lagi.
Katanya, selain persekitaran sekolah yang bersih dan ceria, segala maklumat dan informasi sama ada program dan aktiviti yang berlangsung akan didokumentasikan dengan lengkap.
``Itulah juga antara kejayaan yang membolehkan PSS sekolah berkenaan memenangi Johan PPDa Peringkat Kebangsaan bagi kategori sekolah luar bandar,'' kata beliau.
Thursday, 22 September 2011
Mewujudkan pusat sumber cemerlang
dicatat oleh TentangKami at 19:22