BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS »

SMKSULTANAHBAHIYAH

SMKSULTANAHBAHIYAH

Thursday, 22 September 2011

Guru perlu berani buat perubahan

WARGA pendidik janganlah sentiasa berada dalam zon selesa dan perlu berani melakukan perubahan untuk kebaikan pelajar, kata bekas Pegawai Pelajaran Daerah Lipis, Basiron Abdullah Hasyim.

Beliau menyarankan agar setiap warga pendidik mempunyai keazaman untuk berubah dan sentiasa mahu melakukan perubahan bagi peningkatan kurikulum, kokurikulum, bina insan, keceriaan dan sebagainya.

”Kita perlu melakukan perubahan sejajar dengan perubahan pendidikan nasional agar proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) berlaku dengan semaksimum mungkin di sekolah.

”Warga pendidik juga perlu melakukan perubahan dalam diri dengan meneruskan pembelajaran sepanjang hayat supaya ilmu yang kita sampaikan kepada pelajar tidak terkebelakang,” pesan Basiron pada majlis mengetip kad perakam waktu terakhir meraikan perpindahannya ke Cameron Highlands, baru-baru ini.

Semasa di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Lipis, beliau telah berjaya mewujudkan satu pangkalan data pengurusan akedamik yang dikenali Intergrated Student Information System (ISIS) untuk perkongsian maklumat secara telus oleh semua pihak yang berkepentingan seperti guru, ibu bapa dan pegawai pendidikan.

Selain itu, beliau telah merapatkan lagi hubungan antara warga pendidik dan menganjurkan beberapa permainan seperti woodball, golf dan sukaneka yang melibatkan seluruh warga pendidik. Komitmen dan kesungguhan yang ditunjukkan beliau wajar dicontohi oleh warga pendidik.

Basiron pernah bertugas sebagai Pengetua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) Kuantan sebelum berkhidmat di PPD Lipis mulai Februari 2010.

Beliau telah banyak membawa perubahan kepada perkembangan kurikulum di Lipis sehingga berjaya meletakkan daerah Lipis mampu bersaing dengan daerah lain.

Dalam ucapannya, beliau berpesan supaya seluruh kakitangan PPD Lipis menjalankan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan dengan ikhlas dan penuh rasa kebertanggungjawaban.

“Seluruh warga pendidik perlu menjalankan tugas dengan ikhlas, harmoni, dan keazaman yang tinggi demi menaikkan nama daerah dalam segenap bidang,” ucapnya.


ThankYou